PERIHAL BENGKEL
Bengkel ini diadakan pada 20/4/2010. Sasaran bengkel ini ialah para pelajar menengah rendah iaitu pelajar-pelajar menengah 1 dan 2.
Bengkel ini dianjurkan oleh guru-guru Bahasa Melayu dengan kerjasama pihak EDN Media Pte Ltd. Penceramah bengkel pada hari itu ialah Cikgu Wahab dari EDN. Matlamat bengkel ini ialah untuk membekalkan para pelajar dengan 7 cara bagi membantu mereka menjadi pelajar-pelajar yang cemerlang baik dalam pelajaran mahupun dalam kegiatan ko-kurikulum mereka.
APA KATA PARA PESERTA?Semasa bengkel ini, saya belajar tentang pentingnya adab. Menurut Cikgu Wahab, kita orang Melayu mempunyai adab yang tinggi dan harus mengamalkannya. Jika guru memberikan soalan, kita harus mengangkat tangan sebelum menjawab. Jangan berbual semasa guru sedang mengajar. Itu adalah beberapa contoh tingkah laku yang beradab. -Fahmy Izzudeen, 1N5
Nota tentang 7 kunci menjadi pelajar cemerlang sememangnya amat berguna. Bagi saya untuk mencapai sesuatu matlamat, kunci yang pertama amatlah penting. Kunci tersebut ialah perancangan. Seperti kata Cikgu Wahab kepada kami, “If you fail to plan, you plan to fail”. – Nur Adilla, 1N5
MEREKA PULA KATA ………Memang benar perancangan itu penting. Misalnya, saya tidak boleh belajar pada saat-saat akhir menjelang peperiksaan. Saya mesti membuat persediaan dari awal-awal lagi. Saya juga perlu yakin dengan kemampuan saya dan tidak mudah berputus asa.
– Muhd Nazly, 2N2Saya pelajari bahawa kita semua mempunyai potensi untuk cemerlang. Kita patut mengoptimumkan minda kita. Jangan hanya berpeluk tubuh sahaja atau mengharapkan guru-guru untuk sentiasa membantu kita. Kita mesti usaha dan rajin bertanya. Barulah boleh berjaya!
-Taufiqah Musfirah, 1N5Kini saya sedar untuk cemerlang saya mesti mempunyai matlamat. Dengan ini, mudahlah bagi saya untuk menguruskan masa dengan baik sebab sebagai pelajar kita bukan hanya harus belajar. Selain belajar, kita juga harus melibatkan diri dalam kegiatan ko-kurikulum.
– Nur Shariah, 2N2Sebagai pelajar, saya perlu menjaga kesihatan. Saya perlu makan makanan yang berkhasiat dan tidur yang cukup. Untuk cemerlang, saya perlu jauhkan diri daripada aktiviti-aktiviti yang kurang sihat seperti merokok, menghidu gam, menghisap dadah dan lain-lain lagi.
– Muhammad Huzaifah, 2N2Nampaknya untuk cemerlang, saya perlu berubah. Bukan sekadar cakap sahaja tetapi mesti buktikan. Saya mesti buang jauh-jauh sifat malas. Mulai sekarang, saya tidak boleh segan bertanya guru jika saya kurang faham. Saya juga harus bergaul dengan kawan-kawan yang berminat untuk belajar.
–Muhammad Azrul, 2N2
Bengkel ini memberi saya motivasi untuk cemerlang. Sebagai contoh, lihat sahaja Taufik Batisah. Sebelum memenangi Singapore Idol, saya pasti dia telah bekerja keras untuk mencapai impiannya. Dalam peperiksaan yang lalu, saya gagal dalam mata pelajaran Sains tetapi ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha dan berjaya.
– Nurul Huda, 2N2
0 comments:
Post a Comment